Tragedi Hari Ini

Memecut pada kadaran 100km/j di Lebuhraya Pesisir Pantai, JB rasanya tidaklah terlalu laju. Lebih-lebih lagi kerana keterujaan untuk pulang awal ke rumah setelah seharian di pejabat Kota Iskandar. Fuh, nasib baik takde Bos arini. Kalau ada, memang menggigil nak lalu depan bilik Bos sebab beliau agak garang walau tidak segarang maskot biskut Tiger yang enak dimakan.

        Sedang melayan angin yang berebut-rebut masuk di bukaan tingkap sisiku, secara tiba-tiba kereta-kereta di hadapanku memperlahankan kenderaan mereka sambil terhuyung-hayang macam ikan todak terkena umpan pemancing rakus. Hairan. Dalam mereka mengelak-elak sesuatu, ada kepulan asap di hadapan mereka. Tiba-tiba saya terlihat rangka motosikal berderai di batang jalan yang mempunyai 3 lorong itu. Dalam ketika itu, terserlah sebuah lori pasir besar yang mampu untuk memuatkan 3 ekor gajah Thailand hidup-hidup. Lori itu terkandas kerana melanggar penghadang jalan dan terhenti di situ sambil berkepul-kepul asap keluar macam orang bakar sate di pasar malam.

       Hah? Saya TUTUP TINGKAP SAYA perlahan-lahan. Ianya berlaku secara spontan apabila ternampak satu bentuk menyerupai manusia. Sah, memang MANUSIA! Subhanallah! Nauzubillah! Inallillah! Separuh kepala bahagian atas beliau sudah tiada. Kakinya sudah separuh sahaja. Semua kereta termasuk saya ke kiri dan ke kanan mengelak darah dan cebisan daging yang bertaburan di atas tar. Serta-merta tingkap saya sudah rapat dan air-cond dibuka. Saya masih lagi terpaku dan sukar menelan air liur beberapa minit selepas meninggalkan tempat kejadian.

        Memamg ini pertama kali saya menyaksikan tragedi ini. Serta-merta saya bisik dalam hati kecil saya, Ya Allah, Janganlah Kau kurniakan aku su'ul khatimah (pengakhiran yang buruk). Itulah kita sebagai manusia sentiasa lemah dan seringkali diancam dengan ciptaan sendiri padahal Allah tidak terkesan langsung dengan ciptaanNya.

Sama-samalah kita berdoa agar jika Islam adalah agama si mati tadi, maka semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan jika bukan, Wallahualam.

Comments

Popular Posts