Salam Maal Hijrah


Entah di mana hebatnya dunia ini, manusia begitu sibuk mencari sesuap nasi untuk hari yang mendatanginya, dan hari-hari yang akan menjengah. Sehinggakan mereka lupa adanya mereka di bumi ini adalah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi yang penuh hikmah. Hidupan-hidupan di laut, di hutan rimba yang diselimuti kehijauan dan yang sedang bebas melebarkan sayap di angkasa yang biru semuanya seakan mempunyai tujuan sama dengan kita iaitu mencari rezeki untuk meneruskan hidup. Tetapi tidaklah mereka dijadikan untuk memimpin dan menggunakan sumber–sumber alam untuk membangunkan sesebuah tamadun. Ya, itulah yang membezakan kita dengan mereka.

        Adakah kita sudah bermuhasabah diri sebelum kita bergerak untuk bekerja ataupun sebelum menimba ilmu. Atau adakah kita adalah daripada golongan-golongan manusia yang berikut:
  1. Yang mahu menyelamatkan diri daripada mendapat kesusahan dunia.
  2. Mahu menyelamatkan diri serta keluarga yang tersayang daripada kebuluran.
  3. Menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat daripada ditenggelamkan duniawi.
        Baiklah, jika anda tergolong daripada golongan yang nombor satu, tiada siapa akan membantu anda malahan diri anda sendiri. Masalah anda sebenarnya lebih besar daripada anda tahu. Manusia jenis ini mungkin akan menjadi penyakit seperti barah dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak akan segan silu untuk menipu orang lain  untuk mendapatkan kejayaan walaupun ianya tidak bernilai di mata Tuhan Yang Maha Kaya.

        Golongan kedua- sangat bagus jika anda mempunyai ciri-ciri seperti ini. Tetapi belum cukup bagus jika anda sanggup mengorbankan kesenangan atau ‘menabur pasir dalam periuk nasi orang’ bagi kesenangan anda sekeluarga. Beringatlah kerana andai terpesong niat anda walaupun sedetik maka berlakulah perkara-perkara yang amat dibimbangi dalam sumber kewangan yang diperolehi.

        Golongan ketiga adalah yang terbaik dan bukanlah saya mampu untuk menjadi yang terbaik tetapi sedang berusaha ke arah itu adalah satu jihad. Kerana itulah belum cukup masa dan tenaga saya untuk dikorbankan tetapi jika diniatkan kerana Allah maka syahid mungkin menjemput. Jika diteliti, doa selepas solat dianjurkan untuk kita berdoa kepada diri sendiri, keluarga dan seluruh muslimin dan muslimat. Begitulah Islam. Malahan kepentingan solat berjemaah amat dititikberatkan malahan menjadi wajib pada hari Jumaat.

        Selamat menyambut Maal Hijrah.. Semoga penghijrahan kita ke suatu tahap lebih baik menjadi suatu ibadah. Semoga kita tidak lupa mencipta keharmonian dan mengeratkan Silaturrahim di dalam masyarakat masa kini. Dunia yang indah bermula dengan diri anda.

“Dan tidaklah kami mengutus kamu melainkan menjadi rahmat semesta alam” (Surah Al-Anbiyaa:107)

        Tidak lupa untuk saya mengingatkan kepada semua pelajar UiTM Perak khususnya pelajar Juruukur Bangunan agar permulaan tahun Islam yang baru ini menjadi titik tolak perubahan persatuan kita kearah lebih baik. Tidak lupa juga course yang lain seperti Perakaunan juga (",)

Comments

Popular Posts