Permulaan Praktikal Pelajar Ukur Bangunan

Mungkinkah ini alam pekerjaan

       Selepas pulang dari surau, terus saya mengenakan seluar panjang dan baju kemeja lengan panjang dengan garis-garis halus yang merupakan corak kegemaran saya. Tidak sekadar itu, wangian dicalit bagi menambah keyakinan diri. Sambil mengemaskan diri, terdetik pula adakah ini alam pekerjaan sebenarnya? Sebenarnya sukar untuk menyatakan badai yang menggoncang perasaan tatkala memulakan langkah yang pertama praktikal di Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dengan kekurangan ilmu di dada. Ditambah pula dengan hari ini sebenarnya saya demam!

        Memang menyakitkan untuk berhadapan dengan majikan dan rakan sepejabat yang baru dengan fikiran yang kurang tenteram kerana sakit yang merantai. Apakan daya, kita merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Kali ini, tidak sesekali saya dedahkan tahap kesihatan saya yang sebenar kerana ia akan mencalarkan hari pertama praktikal. Mulakan langkah dengan yakin, memberi senyuman kepada setiap staf, dan menyapa apabila dapat peluang, itulah tugasan yang pertama yang mesti saya lengkapkan pada hari pertama. Setelah diberikan ruang bekerja dan bahagian untuk ditugaskan, saya pun duduk sambil menghubungi pensyarah bagi memaklumkan hari pertama saya.

        Memang patutlah saya ditimpa demam hari ini sebagai balasan dari Yang Maha Adil. Kerana saya tamak mengisi masa cuti dengan tidak bercuti iaitu bekerja (dengan bapa sendiri), menelaah buku-buku tambahan, dan terlalu tamak untuk menguruskan dua buah blog! Semuanya kerana kononnya tak mahu bazirkan masa muda yang ada. Akhirnya, tubuh saya meronta dan mahukan rehat dan akibatnya saya telah terlepas jemaah Isyak selepas tertidur apabila selesai solat maghrib.

        Tetapi saya begitu hairan dengan rakyat Jepun yang begitu hebat bekerja dan cita-cita saya untuk mencontohi budaya mereka tidak kesampaian kerana tabiat pemakanan mereka jauh lebih elok dari apa yang saya amalkan (agak terasa sebenarnya). Satu lagi yang saya kagum tentang mereka adalah mereka adalah satu-satunya bangsa di dunia yang mampu untuk mengaplikasikan frasa 'mati kerana terlalu kuat bekerja'! Nampaknya saya perlu berusaha lebih gigih untuk menjadi seorang Juruukur Bangunan yang profesional kerana itulah cabaran yang diberikan oleh majikan saya sewaktu berbual dengannya..!!

         Insyaallah apa yang dipelajari akan saya terjemahkan sebaik mungkin dalam latihan praktikal ini nanti. Semoga saya dapat menjadi seorang pelajar jurusan Juruukur Bangunan yang mampu untuk membawa nama baik jabatan ini. Sebelum saya keluar dari pejabat majikan saya, sempat dia mencelah dengan mencabar saya agar saya buktikan mengapa perlunya ada Juruukur Bangunan di Malaysia.. Wahai rakan-rakan seperjuangan sekalian, perlukah saya menyahut seruan itu?!! Jawapannya.. KITA TUNGGU.

Comments

Popular Posts