Mengira Detik Menjadi TetamuMu


Bismillahirrahmanirrahim..

        Pertama sekali saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada semua muslimin dan muslimah di seluruh dunia yang telah menerima jemputan VVIP daripada Allah Taala. Amatlah beruntung bagi mereka yang sedang berada di tanah suci Mekah tidak kira sama ada yang muda mahupun tua, yang sihat ataupun uzur, asalkan ibadah ke-5 dalam rukun Islam ini dapat ditunaikan sehingga selesai walaupun dikenakan dam. Dam sebenarnya adalah satu bentuk denda (atau lebih tepat adalah 'penggantian') yang dikenakan terhadap peserta haji yang melanggar pantang dalam haji seperti melanggar pantang berihram. Selain itu, dam juga bertujuan untuk menggantikan perkara-perkara wajib yang tidak mampu dilakukan oleh peserta haji. Mudah-mudahan saudara-saudara kita di sana beroleh Haji yang Mabrur.. InsyaAllah.

        Tiba-tiba sahaja saya amat berminat untuk menaip post saya berkenaan 'Haji' memandangkan saya baru sahaja pulang dari Lembaga Tabung Haji. Apa kaitannya? Sebenarnya saya baru sebentar tadi mendaftarkan diri dalam senarai bakal peserta haji. Untuk pengetahuan pembaca, sengaja saya mendaftarkan diri dalam program itu adalah kerana saya amatlah teruja untuk menunaikan ibadah haji pada usia yang muda dan mempunyai kesihatan yang baik. Akan tetapi, perlulah anda tahu bahawa jika saya mendaftar sekarang, tidak bermakna tahun depan saya sudah boleh naik flight dan terbang ke sana! Ini kerana, pihak Tabung Haji akan melakukan beberapa prosedur giliran yang akan mengambil masa selama beberapa tahun untuk membolehkan si pendaftar mengerjakan Haji mengikut kuota yang ditetapkan oleh pihak Arab Saudi itu sendiri. Malah, boleh mengambil masa sehingga PULUHAN TAHUN! Kedengaran amat menakutkan bagi saya. Jika giliran saya 20 tahun kemudian, Alhamdulillah..

        Jika anda merasa ketakutan tahap kura-kura masuk cengkerang apabila membaca kenyataan di atas, apa lagi?? Cepatlah pergi mendaftar di cawangan-cawangan Lembaga Tabung Haji yang berdekatan. Jangan takut dan jangan risau, anda tidak akan dipanggil diterbangkan untuk menunaikan haji dalam jangka masa yang terdekat ok? Apa yang anda perlukan adalah;
1) Akaun Tabung Haji
2) Berumur 12 tahun ke atas
3) Mempunyai sekurang-kurangnya RM 1,310.00 di dalam akaun Tabung Haji anda
4) Lu pikirlah sendiri.. Hehe =,="

(Untuk mengelakkan sebarang kejadian syak wasangka dan adegan tembak-menembak, saya bukanlah ejen upahan Tabung Haji. Sekadar berkongsi)

Sengaja saya panjangkan lagi ruangan ini dengan beberapa info mengenai ibadah Haji. Dalam mengerjakan haji, terdapat dua perkara yang perlu dipatuhi iaitu Rukun Haji dan Wajib Haji. Akan tetapi saya hanya akan mengulas sedikit mengenai Rukun Haji yang yang mengandungi 6 perkara iaitu, niat, wuquf, tawaf haji, saie, bercukur dan tertib. Ketika berniat, hendaklah pilih diantara melakukan Haji Ifrad, Haji Tamattuk, dan Haji Qiran. Paling afdal adalah Haji Ifrad kerana tidak dikenakan dam berikutan tatacara yang lebih teratur dan sempurna (betulkan saya jika saya salah ya).

Apa yang istimewanya HAJI ni berbanding UMRAH? Haa.. mestilah kerana orang yang sudah mengerjakan haji boleh ditambah dengan nama "Haji" di depan namanya. Sebagai contoh, Jika nama orang itu adalah "Din", jadi bolehlah dipanggil dengan "Haji Din". Sebaliknya berlaku pada Umrah, takkan pula nak panggil "Umrah Din"? Akan tetapi perspektif yang sebegini haruslah dijauhi ok. Kerana ibadah keistimewaan Haji adalah kerana beberapa perkara:
1) Haji hanya boleh dibuat di masa yang ditentukan sahaja. (bermula 1 syawal hingga sblm fajar 10 Zulhijjah)
2) Ada Wuquf sedangkan Umrah takde (lokasi di Arafah)
3) Tido atau bermalam di Muzdalifah dan Mina. Umrah Tiada. (mcm susah jer)

Baiklah, itu sahaja perkongsian saya buat kali ini and see you next time..

Comments

Popular Posts