Kulihat, Kutenung, Kufikir, 2014

2014 tahun Masihi,
Disebuah kedai makan tidak kurang mahsyurnya,
Aku menghadap lembaran kertas menelaah,
Sambil memerhatikan insan-insan muda girang menunggang motosikal mereka,
Seorang demi seorang keluar masuk membawa 'isteri' masing-masing,
Perkahwinan muda?
Hampir masuk 4 pagi masih seronok bergelak tawa hingga sempit ulangkaji ku,

Terfikir kata-kata Syed Naquib Al-Attas,
Benar juga,
Anak-anak muda Islam hari ini ibarat digenggam,
Hiburan melampau,
Agama hanya pada 5 masa,
Hati mereka dalam kesakitan, menjerit.
Aku kasihan kerana perasaan sayang.

Sudah berabad kegemilangan itu berlalu,
Tahun baru ini hanya memudarkan lagi sejarah lalu,
Cordoba, Andalusia, Alhambra, adakah mereka tahu,
Abbasiyah, Uthmaniyyah..ahh itu sudah berlalu.

Hedonisme diangkat,
Memencilkan diri dilihat sebagai tabu,
Bila melawan dikatanya kita ustaz,
Menjulangnya pula dianggap satu cara hidup baru,

Benarlah dikatakan Islam kini hanya ibarat pentas bermain wayang,
Sejarah Islam lalu hanya diulang, diulang dan diulang,
Pemuda seperti, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh seolah-olah terhenti di simpang,
Tanpa ada niat menjadi kesinambungan paparan akan datang.

"dan Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Kuasa." - Surah Al-Hajj: 40.

Terlepas aku dari lamunan panjang,
Biar aku tak sebijak Al-Khwarizmi,
Biar aku tak sehebat Ibnu Sina,
Istiqamah dan niat itu bakal memacuku,
Ke lembah dakwah penuh liku dan jurang yang dalam,
Agar ku temu nanti sinar cahaya yang tenteram.

Comments

Popular Posts