Sambutan Maulidurrasul

Lagi beberapa hari lagi sahaja lagi adalah hari memperingati ulangtahun kelahiran nabi kita iaitu Muhammad S.A.W. Dan beberapa buah negeri sahaja yang akan bercuti dan salah satunya Johor. Rasanya Perak tidak bercuti kot sebab mereka gantikan dengan Hari Nuzul Quran. Ini bermakna saya akan dapat cuti pada Isnin minggu depan kerana hari mulia tersebut jatuh pada hari Ahad, 5 Februari bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1433H.


Dalam sambutan kali ini, kita memperingati titik permulaan kelahiran seorang kekasih Allah ke dunia dan membawa rahmat ke seluruh alam, di mana telah memadamkan api berhala sembahan Jahiliyyah dan mengatasi semua cerita-cerita dongeng seperti Merlin, Clash of Titans dan Gladiator. Begitulah mulianya dan kagumnya saya terhadap insan bernama Muhammad ini. Malah Barat pernah mengeluarkan satu ranking yang menunjukkan individu paling berpengaruh di dunia sepanjang zaman adalah Muhammad S.A.W. (rasanyalah kan, mereka mesti tak faham mengapakah ini terjadi)

Tapi seperti biasa setiap kali Maulidurrasul, saya akan terbayangkan satu situasi yang rasanya mustahil untuk terjadi. Apakah yang saya fikirkan? Sebelum saya menceritakan apakah yang saya bayangkan, saya nak bertanya kepada anda dan soalan saya ini tidak ada kaitan dengan apa-apa ajaran sesat ataupun mainan syaitan tetapi sekadar muhasabah diri:

APAKAH YANG ANDA AKAN BUAT APABILA RASULULLAH S.A.W PADA HARI INI TIBA-TIBA MUNCUL DAN MENGETUK PINTU RUMAH ANDA LALU MEMINTA IZIN UNTUK MASUK.. Pilihlah jawapan di bawah:

  1. Anda melutut sambil menangis kerana malu dengan baginda setelah apa yang anda lakukan dengan hidup anda.
  2. Anda tidak mengizinkan baginda masuk kerana merasakan rumah anda terlalu kotor dan hina akan mencemari kemuliaan dan kerasulan baginda.
  3. Berdebar-debar dan kaku kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan.
  4. Menampar muka anda kerana tidak percaya


Setiap kali saya terbayangkan situasi di atas pasti saya akan mengalirkan air mata kerana tidak terbayang betapa hinanya diri ini untuk bersua dengan makhluk yang paling mulia di langit dan di bumi. Malahan jika dapat peluang bersua dengannya, saya ingin memeluknya sambil meminta baginda mendoakan agar saya tersenarai dalam kalangan ahli-ahli Syurga. Kini hanya yang tinggal, sunnah-sunnah untuk diikuti dan Al-Quran sebagai bukti mukjizat dan menunjukkan baginda telah menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah dan terhadap umatnya.. Ya, Al-Quran sebagai bukti tanggungjawab. Kita pula?

Comments

Popular Posts