Satu Solusi: Memilih Pemimpin atau Menjadi Pemimpin

Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh...

Sebelum assignment dimulakan maka saya terasa sangat mesti untuk bercerita sedikit tentang kepimipinan. Perkara sebegini sangatlah perlu dibincangkan kerana kita sudahpun melalui Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) yang dikatakan oleh kita sebagai sangat sengit dan banyak diperkatakan. Sehinggakan saya diberitahu oleh sahabat bahawa Parlimen Facebook semakin panas mendedahkan berbagai-bagai perkara. Wah, rakyat Malaysia semakin matang.

Tapi benarkah? (sambil bersembunyi di bawah meja takut ada orang tembak) hehehe...

Dalam hal sebegini, saya rasa terpanggil untuk menulis serba sedikit tentang sesuatu yang dinamakan "KEPIMPINAN". Dalam saya dok seronok-seronok mencari-mencari sumber untuk diketengahkan saya terjumpa satu blog yang dinamakan GENTA RASA. Rupa-rupanya ianya adalah milik seorang penulis buku yang sangat saya kagumi dan minati iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Bagi saya, Ustaz adalah seorang yang mempunyai pemikiran yang amat tenang, sangat kritikal serta tajam dalam mengulas sesuatu perkara.

THE BEST QIADAH TEAM SIRI 1/2 2013

Tak sangka dapat ber-paint ball!!

Dua minggu yang lalu saya telah menghadiri satu kursus kepimpinan yang dinamakan "The Best Qiadah Team" yang berlangsung di Ulu Yam selama 3 hari 2 malam. Bukan setakat menyertai malah saya sebagai organizer bersama-sama seorang lagi senior bernama Farah Nadiah merasa sangat bersyukur menjalankan aktiviti hasil kerjasama JAIS. Qiadah bermaksud kepimpinan jadi faham-fahamlah objektif dia betul tak.

Dalam kem kali ini saya belajar banyak perkara mengenai kepimpinan. Mungkin sekali pemahaman saya dan anda wahai sidang pembaca tidak sama tetapi jika kita kaitkan dengan kepimpinan zaman Khulafa Ar-Rasyidin Insha Allah akan sama kan? Ada empat jumlah sahabat Rasulullah yang memegang jawatan sebagai Khalifah di zaman itu iaitu Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar, Sayidina Uthman dan Sayidina Ali.

Sayidina Abu Bakar adalah diketahui insan yang paling rapat dengan Rasulullah sehinggakan beliau meniru semua perbuatan Rasulullah dalam semua perkara ketika menjadi khalifah termasuklah memberi makan kepada seorang wanita tua yahudi yang buta yang selalu menghina Rasulullah SAW.

Sayidina Umar pula paling tegas dan di zamannya dikatakan ekonomi umat Islam sangat kukuh dan rakyatnya sangat berdisiplin sehinggakan tidak menjumpai seorang pun yang dikatakan mampu menerima wang zakat. Tetapi pernah suatu malam Sayidina Umar keluar menyamar sebagai saudagar kerana ingin tahu nasib rakyatnya kerana mungkin beliau merasakan menteri-menterinya takut mendedahkan kenyataan sehinggalah beliau menjumpai wanita miskin bersama-sama anak-anak yang lapar sehinggakan merebus batu.

Sayidina Uthman pula adalah seroang dermawan dan hartawan dimana beliau telah menggunakan kekuatan ekonomi dan hartanya untuk membeli telaga dari seorang yahudi lalu memberikan secara percuma kepada orang ramai. Sayidina Ali pula sangat adil sehinggakan memecat seorang hakim yang memuliakan nama beliau ketika membacakan kes curi baju besi Sayidina Ali oleh seorang pencuri Yahudi.

____________________________________________________________

Baiklah, cerita di atas adalah buat renungan sementara. Kini penulisan saya adalah lebih fokus tentang situasi yang kita sedang hadapi iaitu "memilih pemimpin, menjadi pemimpin dan menjadi pimpinan". Ramai yang tidak sedar menjadi ketiga-tiga perkara di atas adalah berbeza tapi saling berkait-rapat.

Memilih pemimpin menurut Ibnu Khaldun :
  1. Mesti berilmu dan bijaksana. Mampu disandarkan beban amanah Allah untuk mengetuai rakyat dan mengetuai agama Islam. Jika pemimpin tidak terlau arif tentang agama Islam maka tindakan yang sangat cantik adalah berdamping dengan Mufti-Mufti dalam membuat keputusan. Paling penting mampu membuat keputusan paling tepat dalam keadaan tenat dan kritikal.
  2. mampu berlaku adil. Sifat adil ini wajib dimiliki seorang pemimpin. Sebab dalam kekuasaan ada hak kelompok yang dipimpin. Menurut Ibnu Khaldun, sifat adil seorang pemimpin berguna untuk menghindari perpecahan antara sesama.
  3. Tahu dalam berbagai bidang (alkifayah). Pengertian kifayah adalah mampu menegakkan hukum, memimpin peperangan, bertanggung jawab kepada bawahan, mengenal kelompok-kelompok ashabiyah. Mengenal pula orang-orang cerdas dan berpotensi dalam wilayah yang  dimintakan bantuannya. Kemampuan-kemampuan tersebut, berkuasa menciptakan kemaslahatan masyarakat.
  4. Tidak cacat panca indera dan tubuh. Kelengkapan dan kesempurnaaan alat indera dan anggota tubuh sangat penting bagi calon pemimpin, kerana mempengaruhi tahap kebolehankerjanya untuk mencapai hasil yang optimum kerana menjadi contoh.
Sangatlah penting 4 perkara di atas kerana kita mesti tak perasankan bukan sahaja untuk memilih pemimpin negara sahaja, tetapi maaf saya katakan untuk memilih pemimpin di kalangan kita sebagai mahasiswa sendiri pun sangat bayak kekurangan malahan saya berkata kepada diri saya sendiri. Samaada memilih wakil kelas (class representative), presiden persatuan, Majlis Perwakilan Pelajar dan sebagainya haruslah mempunyai pemilihan yang sedikit serius kerana ianya kelak akan membiasakan kita untuk memilih pemimpin negara yang baik pada masa hadapan. Bukannya main-main dan bertujuan mengenakan kawan-kawan.

____________________________________________________________

Dalam kita memilih pemimpin kita mesti rasa sangat tidak puas hati apabila orang yang kita pilih itu tidak berjaya jadi pemimpin ataupun gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Jadi apakata kita pula melatih diri kita menjadi pemimpin. Sekurang-kurangnya orang sekeliling merasa pula naungan kita dan merasa terpimpin  malah organisasi menjadi terpimpin. Tetapi bagaimanakah cara nak berkarakter sebagai pemimpin? Marah-marah orang bagi takut atau berkawan banyak untuk dapatkan backup?

  1. Kuasai ilmu yang asas tentang agama Islam dan amalkan sekerap yang boleh.
  2. Elakkan buang masa seperti bermain game2 di depan kawan2. (kalau sorang2 ok kot)
  3. Sentiasa memberanikan diri bercakap di hadapan kuliah atau tampil di saat genting.
  4. Melahirkan idea yang bernas ketika di ambang kritikal.
  5. Jadi pendengar masalah dan berikan pendapat yang tidak beremosi.
  6. Tegurlah orang lain yang kurang mendapat perhatian dan bertanya khabar.
  7. Ringan mulut untuk berjenaka... ;-)
Dikala ini juga saya terfikir kalau yang pilih pemimpin tak berjaya, jadi pemimpin tiada kekuatan. Kenapa tidak menjadi pimpinan (pengikut) yang baik? Perlukah kita memberontak dan meminta orang di sekeliling agar mempunyai pemikiran sama dengan kita. Apakah hak kita? Adakah dengan memberontak dan mengaibkan manusia lain akan menampakkan diri kita betul? Atau hanya meletakkan diri kita sama level orang yang kita kutuk atau mungkin lebih rendah lagi?

____________________________________________________________

Jangan memandang rendah terhadap kuasa Super yang dimiliki oleh seorang pengikut.

Seorang pengikut adalah pemimpin kepada rakan-rakan atau orang lain di sekelilingnya. Jika hanya makian, cacian dan kata-kata negatif diluahkan oleh individu itu, maka negatif jugalah orang-orang di sekelilingnya. Tidak mustahil terbentuk satu kelompok masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan seterusnya akan merugikan komuniti lain. Akhir sekali, misi sebuah organisasi akan terbahagi kepada dua dan setiap separuh daripada mereka menuju ke arah objektif masing-masing tetapi tidak perasan akan tali yang menghambat belakang yang mengikat mereka satu sama lain. Sampaikah mereka kepada objektif mereka?

____________________________________________________________

Pengalaman pernah mengajar saya bilakah untuk bangkit setelah jatuh. Dan bilakah pula untuk tidak timbul selepas tenggelam, hanya menahan nafas di bawah permukaan berpura-pura mati. Sehinggalah menemui satu saat untuk timbul mengambil udara sambil mendepakan tangan untuk berenang ke permukaan seterusnya berlari pantas menuju ke puncak bukit. Natijahnya, kita perlu sedar bilakah kiranya kita perlu menyerlah dalam kepimpinan dan bilakah pula kita perlu menunggu masa kerana manusia sentiasa dihurung hasad dengki dan iri hati. Tapi jangan bersembunyi malah tanganilah ia dengan cara yang baik dan proses yang perlahan tetapi konsisten. Nescaya, semua orang akan mampu menerima kita.



Dalam anda cuba menyumbangkan tenaga, idea dan tanggungjawab di luar akademik seperti berpersatuan, mungkin sekali akan kedengaran suara dari kalangan kawan rapat anda sendiri yang meminta anda menghentikan perbuatan anda kerana dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada keputusan akademik anda dan bukannya menyokong sambil memberikan pendapat yang lebih baik. Contohnya, meminta anda agar membahagikan masa dengan sebaiknya atau menawarkan pertolongannya. Saya pernah mendengar sendiri daripada orang terdekat mengatakan semua aktiviti luar kuliah tidak penting dan tiada manfaat. Mungkin ada betulnya. Tetapi saya ambil pendapat di bawah:

Kata-kata Pak Nasir (mantan perdana menteri Indonesia) : “Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan, lalu diterima dan didukung oleh Ummat”

Jadi, lahirkanlah kasih sayang antara kita. Buangkan kebencian kerana berbeza pendapat. Carilah titik persamaan semula. Di hadapan Allah tiada apa yang tinggal untuk dibawa walaupun pangkat, harta dan pengaruh. Hanyalah cebisan-cebisan kebaikan dan amalan untuk dicantumkan menjadi hamparan masuk ke syurga Allah..

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap kamu adalah pemimpin. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang Gaji/pembantu adalah pemimpin kepada harta benda majikan yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Sekian dari Admin bssilver. Superman ;-)

Comments

Popular Posts