Azabnya Task.
Menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar Ukur Bangunan sememangnya agak mencabar terutama apabila mendapat 'task’ daripada pensyarah. ‘Task’ yang hendak dibincangkan oleh saya, rasanya dapat diagak oleh kalangan pelajar Ukur Bangunan. Apa lagi kalau bukan kena cari bangunan sebagai tempat kajian. Kalau tuan-tuan dan puan-puan nak tahu, azabnya nak cari bangunan yang boleh dijadikan bahan kajian bukan setakat nak dapatkan maklumat sulit bangunan sahaja, bahkan nak dapatkan balasan temujanji dengan technician pun makan masa sampai hilang sabar.
Inilah yang dikatakan sebagai lumrah alam pekerjaan yang mungkin kami belum terokai sepenuhnya. Bayangkan apabila kami dapat task untuk survey bangunan dalam trip yang kami pergi. Dah la belum buat appointment dengan tuan bangunan, nak pula ganggu dia dalam urusan mereka. Jadi, bukankah seorang Juruukur Bangunan mesti mempunyai akal yang panjang? Apa nak jadi, jadilah. Biar task kita siap dengan jaya umpama memecah rekod Olimpik!
Ketika saya menulis blog ini, saya sedang berada dalam rumah sewa sahabat-sahabat saya di UiTM Shah Alam. Saya dan ahli kumpulan saya yang lain sanggup datang dari Utara untuk menyiapkan task berkaitan Electrical Distribution dalam bangunan. Menariknya, kami datang ke Shah Alam dengan harapan KEAJAIBAN akan berlaku..! Kenapa KEAJAIBAN? Sebenarnya kami tidak membuat sebarang temujanji dengan mana-mana pihak pengurusan bangunan. Lebih buruk, kami tidak tahu bangunan manakah yang akan kami kaji. Apa yang kami tahu, kena cari bangunan tinggi yang menggunakan ‘rising main’ (sistem pengagihan elektrik untuk bangunan tinggi). Memang sepatutnya ini tidak perlu berlaku kepada seorang pelajar kerana maklumat bangunan yang mempunyai tingkat yang tinggi sememangnya sulit dan tidak boleh diserbu begitu sahaja. Jika kita bertindak sedemikin, tahulah macam mana kami akan ditendang keluar. Oleh itu, saya menasihatkan kepada semua pelajar Ukur Bangunan terutamanya yang masih baru, agar jangan ulangi tindakan naïf kami ini
.
.
Pagi tadi, kami sekumpulan nekad untuk mengkaji bangunan yang ada di Shah Alam dengan bantuan rakan yang tinggal di sini. Saya dah niatkan dalam hati, kalau kami semua tak dapat kelulusan daripada semua bangunan yang kami mohon hari ini, biarlah kami balik sahaja dan cari bangunan di tempat sendiri sahaja. Mungkin KEAJAIBAN sahaja dapat menyelamatkan kami hari ini. Nasib baik juga rakan kami di sini cuba sarankan sebuah bangunan yang bernama Wisma Pelangsing (bukan nama sebenar).
Pukul 9.30 pagi kami bertolak dengan menaiki kereta dan terus meluncur ke kawasan tersebut. Setibanya di kawasan parkir, kami berjalan ke wisma tersebut. Baru sahaja 10 meter saya berjalan meninggalkan kereta, saya tiba-tiba terasa kekurangan sesuatu tetapi tidak tahu apa. Bagi menutup kekurangan itu, saya lekas kembali ke kereta dan mencapai jaket Jabatan Ukur Bangunan yang bagi saya jaket paling segak yang pernah saya ada. Kemudian saya dan rakan-rakan terus menapak ke dalam ruang lobi bangunan tersebut.
Ketika kami terkial-kial di lobi untuk mencari orang yang boleh bertanggungjawab keatas kajian kami, tiba-tiba kami disapa oleh seorang lelaki yang berpakaian kemas bersama rakannya.
“Kamu daripada UiTM ke?”, katanya mengagak.
“Ya, kami datang nak survey bangunan.” Saya memberitahunya dengan berharapan.
“Dah buat appointment?”
“Belum lagi.” Kemudian saya terus menceritakan masalah kepada beliau memandangkan beliau seperti mahu membantu kami.
“Baiklah, kamu ikut kami. Kami berdua pun hendak buat survey juga. Kami dah buat appointment.” Kemudian beliau terus memperkenalkan dirinya sebagai Fauzan dan menunjukkan surat yang membuktikan mereka sudah buat temujanji siap dengan senarai nama ahli kumpulan mereka.
“Macam mana tu?” saya masih belum jelas.
“Kalau diikutkan, kamu semua tak boleh buat kajian tanpa temujanji. Cara saya, saya nak empat daripada kamu berlakon menjadi kawan saya di mana nama mereka ada dalam surat appointment tetapi tidak hadir.”
“Oh, begitu. Terima kasih sebab menolong kami.” Saya ucapkan begitu sambil masih terkejut kerana jalan kami begitu dipermudahkan oleh Allah.
“Nasib baik saya nampak awak pakai jaket BS UiTM ni, kalau tak saya tak tahu.” Balasnya.
Saya terus terkejut dan bersyukur. Nasib baik saya berpatah balik ke kereta dan mengambil jaket ini. Rupa-rupanya inilah kekurangan yang saya dapat rasa tadi.
Apa lagi, empat daripada kami terus menggunakan nama samaran yang diberikan oleh pelajar senior yang mahui membantu kami tadi. Memang janggal, tapi ini sahaja caranya untuk mendapatkan maklumat kajian kami dalam keadaan darurat. Kemudian, kami terus diberi kerjasama oleh technician bangunan itu seolah-olah kami sudah buat appointment sehingga lengkap sudah kerja kami. Alhamdulillah, urusan kami begitu dipermudahkan Allah dan KEAJAIBAN benar-benar telah berlaku.
Saranan saya kepada semua warga Ukur Bangunan agar jangan ulangi kesilapan kami kerana masyarakat akan memandang salah terhadap karier kita dan menganggap bahawa kita hanya menyusahkan mereka dalam urusan seharian. Kami juga berdoa agar perkara ini tidak kami ulangi.
Comments
Post a Comment
KOMEN